Memperkukuh pengurusan bencana negara melalui inisiatif strategik



Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Mac. - Pada masa kini ancaman perubahan iklim kini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan risiko bencana di peringkat global dan juga domestik.


Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman pada perbahasan hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin, bagi menjawab soalan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong berkenaan perkembangan terkini dalam pengurusan bencana negara mengambil kira cabaran perubahan iklim yang sentiasa berubah dan peningkatan kekerapan bencana alam.


Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, penghargaan juga diberikan kepada semua pihak yang terlibat daripada pemimpin akar umbi sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah atas sumbangan membantu kejadian bencana dan menyelaras bantuan kecemasan serta memastikan kesiapsiagaan komuniti sentiasa berada pada tahap yang baik.


“Alhamdulillah, setakat bulan Februari 2026 sebanyak 16 buah jalan telah siap sepenuhnya. Manakala enam buah lagi jalan sedang dalam perlaksanaan iaitu Jalan Singap, Jalan Gadong di Daerah Belait dan Jalan Panchong Kuala Ungar, Jalan Kuala Ungar Benutan, Jalan Kerancing Benutan dan Jalan Belaban di Daerah Tutong masih dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan," ujar Yang Berhormat.


Tambah Yang Berhormat, bagi memastikan kesiapsiagaan negara terhadap insiden di luar jangkaan, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) sedang dalam fasa pengemaskinian Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi gegaran gempa bumi dan tsunami dengan kerjasama teknikal daripada Pusat Seismik Kebangsaan Brunei dan Kementerian Pembangunan.


Jelas Yang Berhormat lagi, misi pihak NDMC untuk membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana, NDMC juga terus memperkukuh program pembangunan kapasiti serta Latihan simulasi bencana dalam kalangan komuniti melalui dua inisiatif utama iaitu Community-Based Disaster Management CBDRM dan School Based Disaster Management.


Dalam masa yang sama, Negara Brunei Darussalam (NBD) juga telah dipilih sebagai Negara Rintis bagi Projek CDBRM ICT di bawah platform mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana AMMDM dengan kerjasama strategik daripada Kerajaan Jepun di mana NBD telah menjadi ahli ke-33 kepada Pusat pengurusan Bencana ASEAN iaitu ASEAN Disaster Reduction Center ADRC pada 1 Mei 2024," ujar Yang Berhormat.


Menurut Yang Berhormat, pihak kerajaan juga dalam proses untuk menubuhkan Urban Search and Rescue (USAR) kebangsaan dikenali sebagai Satria Special Rescue Assistance yang akan mematuhi sistem klasifikasi International Search and Rescue Advisory Group, INSARAG menjelang tahun 2028-2030.


Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin ketara, pengurusan bencana negara kini turut memberi penekanan kepada pendekatan pengurungan risiko bencana secara proaktif iaitu Disaster Risk Reduction dan adaptasi perubahan iklim selaras dengan kerangkaan antarabangsa seperti Sendai Framework for Disaster Reduction 2015-2030," tambah Yang Berhormat.


Akhirnya, Yang Berhormat merumuskan, melalui pendekatan yang bersepadu ini pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan NDMC akan terus komited untuk memperkukuhkan sistem pengurusan bencana negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.


Close